Pemerintahan beraja
Pemerintahan beraja

Pemerintahan beraja

Pemerintahan beraja atau Monarki (dari bahasa Yunani "monos archein", bermaksud "satu pemerintah") merupakan sejenis kerajaan di mana Raja menjadi ketua negara. Monarki atau sistem pemerintahan beraja adalah sistem tertua di dunia. Pada awal kurun ke-19, terdapat lebih 900 buah takhta kerajaan di dunia, tetapi menurun kepada 240 buah dalam abad ke-20. Manakala pada dekad kelapan abad ke-20, hanya 40 takhta sahaja yang masih kekal. Daripada jumlah tersebut, hanya empat negara mempunyai raja atau monarki yang mutlak dan selebihnya terhad kepada sistem perlembagaan. Perbezaan diantara Raja dengan Presiden sebagai Ketua Negara adalah Raja menjadi Ketua Negara sepanjang hayatnya, manakala Presiden biasanya memegang jawatan ini buat jangkamasa yang tertentu. Namun dalam negara-negara persekutuan seperti Malaysia, Raja atau Agong hanya berkuasa selama 5 tahun dan akan digantikan dengan raja dari negeri lain dalam persekutuan. Dalam zaman sekarang, konsep monarki mutlak hampir tidak wujud lagi dan kebanyakannya adalah raja berperlembagaan, iaitu raja yang terhad kuasanya oleh perlembagaan. Monarki juga merujuk kepada orang atau institusi yang berkaitan dengan Raja atau kerajaan di mana raja berfungsi sebagai ketua eksekutif.Monarki demokratik atau dalam bahasa Inggeris Elective Monarchy, adalah berbeza dengan konsep raja yang sebenarnya. Pada kebiasaannya raja itu akan mewarisi takhtanya (hereditary monarchies). Tetapi dalam sistem monarki demokratik, takhta raja akan bergilir-gilir di kalangan beberapa sultan. Malaysia misalnya, mengamalkan kedua-dua sistem iaitu raja berpelembagaan serta monarki demokratik. Bagi kebanyakan negara, Raja merupakan simbol kesinambungan serta kedaulatan negara tersebut. Selain itu, raja biasanya ketua agama serta Panglima Besar angkatan tentera sesebuah negara. Contohnya di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam, manakala di United Kingdom dan negara di bawah naungannya, Ratu Elizabeth II adalah ketua agama Kristian Protestan.Selain Raja, terdapat beberapa jenis pemerintah yang mempunyai bidang kuasa yang lebih luas seperti Maharaja dan Kalifah.